30 October 2011

Prinsip-prinsip Pendidikan Pemulihan Matematik

Pengenalan

Kesediaan Matematik   

Kesediaan belajar merujuk kepada keadaan dalaman individu yang bersedia dan berupaya untuk mempelajari sesuatu dengan tujuan memperoleh pengalaman pembelajaran yang lalu.

Thorndike (1913) mengemukakan hukum kesediaan yang dirumuskan secara ringkas seperti berikut:

           i.         Apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan, dan berjaya melakukannya, maka tindakan ini akan membawa kepuasan kepada dirinya.
          ii.         Apabila seseorang individu bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan, tetapi tidak dapat melakukannya, maka individu ini akan merasa kecewa.
         iii.         Apabila seseorang individu belum bersedia untuk melakukan sesuatu, tetapi dipaksa melakukannya, tindakan paksaan itu pula akan menimbulkan perasaan duka cita ke atas dirinya.

Menurut Bruner (1966) Kesediaan belajar merujuk kepada apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangan kematangannya.

Kematangan dapat dibahagikan kepada empat komponen iaitu:-

Kematangan fizikal, kematangan kognitif, kematangan sosial dan kematangan emosi.

1. Kematangan  fizikal

   Kesediaan belajar dipengaruhi oleh kematangan fizikal iaitu perkembangan fisiologi dan psikologi seseorang individu mengikut peringkat umurnya. Mengikut kajian, faktor warisan baka dan persekitaran turut mempengaruhi kesediaan belajar individu. Malahan faktor kematangan fisiologi dan psikologi  juga penentu kadar tinggi rendah kesediaan belajar seseorang itu.

2. Kematangan  kognitif

Mengikut kajian Piaget, kematangan kognitif kanak-kanak berkembang dari operasi konkrit kepada operasi kompleks seiring dengan peningkatan umurnya. Kematangan kognitif ini mempengaruhi kesediaan belajar dan menjadi prasyarat untuk mempelajari matematik, sains dan mata pelajaran lain yang memerlukan kemahiran berfikir.

3. Kematangan sosial

Kematangan sosial pula berkait rapat dengan keupayaan seseorang berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain.

4. Kematangan  emosi

Manakala kematangan emosi pula adalah kadar pencapaian kestabilan dalam perasaan seperti kepuasan, keinginan, minat dan sebagainya. Kematangan sosial dan emosi adalah kesediaan belajar asas yang menentukan kesanggupan seseorang pelajar berkongsi pengalaman dan menjalankan aktiviti pembelajaran bersama pelajar-pelajar lain.

Piaget (1966) mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat pembelajaran mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak seperti yang dihuraikan di bawah ini.  
          
Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti mental seperti berfikir, menaaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Oleh  itu Piaget bapa psikologi kanak-kanak membahagikan perkembangan kanak-kanak kepada 4 peringkat iaitu:-

1.        Peringkat Deria Motor ( 0-2 tahun)
2.        Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun)
3.        Peringkat Operasi Konkrit (7-11 tahun)
4.        Peringkat Operasi Formal (11 tahun ke atas)

     Kanak-kanak mula menggunakan deria motornya untuk berinteraksi dengan persekitarannya pada peringkat pertama ini. Pada peringkat umur 2-7 tahun ini mereka sudah boleh menggunakan simbol dan bahasa untuk menggambarkan konsep. Pemikiran mereka adalah egosentrik. Iaitu mengganggap pengalaman dan pandangan orang lain serupa dengan mereka. Bahan-bahan pelajaran yang terdiri daripada objek yang besar dan menarik, yang senang disentuh dan dilihat amat perlu digunakan ketika mengajar kanak-kanak peringkat 1 dan 2 menurut Piaget.

     Apabila mencapai umur 7 tahun barulah kanak-kanak ini dapat memahami konsep transformasi, menguasai proses kebalikan dan akhirnya mengamati  proses songsangan. Mereka juga sudah boleh berfikir secara induktif dan deduktif. Walau bagaimanapun di peringkat ini aktiviti pembelajaran masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

    Oleh itu, semua konsep matematik yang baru bagi mereka haruslah menggunakan contoh-contoh konkrit. Pada peringkat sekolah rendah mereka tidak memahami hukum-hukum matematik  seperti hukum sekutuan, hukum taburan dan hukum tukar ganti. Ramai murid sekolah rendah yang hanya tahu menghafaz apa yang diajar guru mereka tanpa memahami konsep matematik yang sebenarnya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini pengajaran matematik harus dikaitkan dengan situasi kehidupan sebenar murid tersebut.

      Oleh itu faktor usia  dan kematangan seseorang perlu diambil kira sebelum merancang pengajaran dan pembelajaran, mempraktikkannya ketika mengajar dan merancang semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam tindakan susulan selepas mengajar  murid pemulihan.       
  
Pedagogi

Guru perlu memiliki kemahiran dan penguasaan ilmu pedagogi seoptimum mungkin supaya berjaya mewujudkan suasana kelas yang ceria dan aktif. Murid perlu belajar secara induktif dan deduktif ataupun gabungan kedua-dua pendekatan. Murid pemulihan juga perlu belajar sacara keseluruhan kemudian barulah kepada tajuk-tajuk kecil.
       
Kandungan

Guru juga perlu mengetahui selok-belok kandungan atau kehendak kurikulum yang digubal untuk kebaikan murid. Guru juga perlu memiliki kemahiran mengajar setiap topik dengan mengemukakan contoh konkrit yang mudah difahami olah murid pemulihan dan mengikut prinsip-prinsip pengajaran yang disarankan oleh tokoh-tokoh tersebut. Isi kandungan perlu diperingkatkan, disusun dari aras mudah membawa ke aras yang lebih tinggi. Oleh itu tugasan matematik akan mendatangkan keseronokan bagi mereka. Latihan tidak harus terlalu mudah hingga murid cepat siap atau terlalu sukar hingga murid bosan dan tidak berminat dengannya.


Kontekstual

Ketika guru mengajar, mereka hendaklah mengaitkan topik baru dengan pengetahuan sedia ada murid. Ausubel amat menekan pembelajaran secara bermakna iaitu satu proses di mana pelajar sendiri yang mempunyai kesedaran dan tujuan serta bahan-bahan pembelajaran yang dipelajari berguna untuknya. Sekiranya tujuan pelajar hanya menghafaz maka hasil pembelajaran hanya berupa hafalan dan tidak bermakna.
 
       
Afektif

Minat dan sikap terhadap pembelajaran amat mempengaruhi kesediaan belajar. Pelajar yang bersikap positif terhadap pelajaran dan mempunyai minat yang tinggi untuk belajar akan memberikan tumpuan penuh terhadap aktiviti pengajaran guru khasnya bagi guru yang menggunakan set induksi yang menarik perhatiannya.

Motivasi intrinsik – wujud dari rangsangan dalaman dan  kesediaan belajar yang membangkit dan mengekalkan minat individu dalam proses pembelajaran dan mendorong pelajar mencapai matlamat pembelajaran.

Menurut Bruner (1966), kanak-kanak yang baru masuk sekolah mempunyai dua motivasi dalaman iaitu intrinsik ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan. Kedua-dua intrinsik ini merupakan motivasi dalaman yang kuat untuk menggerak dan meningkatkan kesediaan belajar kanak-kanak supaya akiviti pengajaran pembelajaran menjadi lebih, aktif, mudah, seronok dan berkesan.

Kemahiran asas dan pengalaman - sebelum seseorang itu mempelajari ilmu atau kemahiran baru, pelajar hendaklah memperoleh kemahiran asas atau pengalaman yang berkaitan. Contohnya jika pelajar ingin menguasai operasi bahagi ia perlulah memahami operasi darab dahulu. Oleh itu kemahiran asas dan pengalaman atau pengetahuan sedia ada merupakan faktor penting yang mempengaruhi kesediaan belajar seseorang.

Kematangan sosial adalah berkait rapat dengan keupayaan seseorang berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain. Manakala kematangan emosi merujuk kepada kadar pencapaian kestabilan dalam perasaan seperti kepuasan, keinginan, minat dan sebagainya.

Kematangan sosial dan emosi merupakan kesediaan belajar asas untuk menentukan kesanggupan seorang pelajar untuk berkongsi pengalaman dan menjalankan aktiviti pembelajaran bersama dengan pelajar-pelajar lain.
     
Sebelum pengajaran dan pembelajaran dimulakan guru juga harus bersedia menangani emosi atau perasaan murid. Biar murid berasa seronok,gembira dan belajar dalam suasana ceria , bukan dipaksa untuk belajar.

Faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi kesediaan belajar ialah minat, motivasi dalaman, kemahiran asas dan pengalaman yang sedia ada.
         

Prinsip Pengajaran

 Mengajar dari  mudah ke sukar
    
      Isi dan aktiviti-aktiviti pelajaran perlu selari dengan perkembangan kognitif pelajar. Jika tidak pengajaran dianggap membosankan dan sukar. Pelajar sekolah rendah belum   bersedia menyelesaikan masalah yang abstrak atau dalam bentuk hipotesis. Setiap tajuk perlu disusun dan diperingkatkan. Oleh itu penyampaian tajuk pelajaran menjadi  lebih mudah. Secara tidak langsung motivasi instrinsik dan motivasi ekstrinsik akan tercapai bahkan memupuk kesedaran murid untuk belajar atas inisiatif sendiri.
       
Dari konkrit ke  abstrak

      Murid pemulihan amat perlu didedahkan dengan objek benda maujud ketika mengajar  konsep atau tajuk baru dalam matematik bagi memudahkan kefahaman mereka. Oleh itu, semua konsep matematik yang baru bagi mereka haruslah menggunakan contoh-contoh konkrit. Pada peringkat sekolah rendah mereka tidak memahami hukum-hukum matematik  seperti hukum sekutuan, hukum taburan dan hukum tukar ganti. Ramai murid sekolah rendah yang hanya tahu menghafaz apa yang diajar guru mereka tanpa memahami konsep matematik yang sebenarnya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini pengajaran matematik harus dikaitkan dengan situasi kehidupan sebenar murid tersebut.

Keberkesanan pembelajaran bergantung kapada kesediaan belajar murid. Oleh itu set induksi guru harus menarik perhatian dan menimbulkan minat murid untuk belajar dan terlibat dalam aktiviti seterusnya. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran haruslah dirancang mengikut kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid. Hubung kaitkan kemahiran asas yang telah dikuasai murid dengan kemahiran yang baru dipelajari.

Isi pelajaran perlu diperingkatkan mengikut tahap kesediaan belajar murid dari mudah kepada kompleks, daripada pengalaman sedia ada kepada pengalaman baru, daripada dekat kepada jauh dan daripada umum kepada spesifik.

Pelbagai bahan rangsangan perlu digunakan untuk mengekalkan minat murid terhadap pembelajaran.

Teknik menyoal dan kaedah inkuiri penemuan perlu digunakan untuk membangkitkan naluri ingin tahu murid.

Strategi pengajaran kumpulan dan pengajaran individu perlu diterapkan untuk melayani dan memenuhi perbezaan individu.

Aktiviti pembelajaran yang dirancang harus menimbulkan kepuasan murid untuk meningkatkan kesediaan belajar bagi aktiviti berikutnya.

Teknik peneguhan untuk memupuk kendiri positif murid dan kesediaan belajar yang kuat perlu digunakan.

Berikan aktiviti kemahiran asas yang cukup sebagai pengukuhan. Kemahiran asas yang dikukuhkan dapat digunakan semula sebagai kesediaan belajar untuk mempelajari kemahiran baru yang lebih kompleks.

Wujudkan suasana pembelajaran serta iklim bilik darjah yang kondusif .

Bahan bantu mengajar haruslah berkaitan, bertepatan dan menarik minat murid.

·           Penggunaan bahan manipulatif dan teknologi  (perisian komputer) dan lain- lain

Penggunaan bahan manipulatif dan teknologi perisian komputer didapati sangat membantu murid pemulihan memahami konsep yang diajar dan memudahkan lagi kefahaman mereka. Terdapat pelbagai jenis bahan multimedia yang boleh digunakan  oleh guru sama ada yang disediakan oleh unit perkembangan kurikulum, dibeli di pasaran semasa ataupun bahan multimedia yang dicipta oleh guru sendiri.

Alat bantu mengajar seperti ini yang menggunakan pelbagai persembahan seperti   powerpoint, membina laman web, membuat brosur, melalui khidmat penghantaran e-mel, publisher dan sebagainya telah merancakkan lagi penggunaan pelbagai jenis teknologi berasaskan ICT. Terdapat pelbagai lagi perisian animasi seperti illustrator yang perlu diperkenalkan kepada semua guru kerana melalui penggunaan teknologi perisian komputer inilah pencapaian murid-murid khasnya murid pemulihan didapati amat cemerlang dan membanggakan kerana murid pemulihan dapat memahami  konsep bacaan dengan lebih mudah melalui bantuan grafik bergambar.











No comments:

Post a Comment